Hikayat Awang Si Ambok
adalah merupakan sastera lisan yang berasal daripada daerah Tutong. Sastera
lisan ialah cerita yang disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang mengetahui
cerita tersebut daripada generasi mereka yang terdahulu. Sastera lisan ini
bersifat tradisional, dimiliki oleh masyarakat melayu yang disebarkan dari satu
generasi kesatu generasi. Bila ia dicipta dan siapa pencipta sastera lisan juga
tidak diketahui namun hasil usaha dari pengarang dan penulisnya, sastera lisan
dapat dicetak dan dibukukan.
Hikayat Awang
Si Ambok adalah merupakan hasil penulisan dan karangan daripada Awang Haji Ibrahim bin Haji Abdul Ghani atau
dikenali sebagai Rahim Dulani. Beliau minat dalam pengumpulan dan pembukuan
cerita-cerita rakyat yang ada di daerahnya dan Hikayat Awang Si Ambok
adalah merupakan hasil pertama beliau dan ia berjaya membuahkan hasil sehingga
dapat dibaca oleh generasi sekarang.
Beliau merakam Hikayat Awang Si Ambok ini pada
6 April 1972, di rumah penuturnya sendiri iaitu Dayang Maimunah bte Shamsuddin,
di Kampong Penanjong, Tutong. Dayang Maimunah bte Shamsuddin mendengar hikayat
ini semasa beliau berumur kira-kira Sembilan tahun pada tahun 1902. Beliau
mendengar hikayat ini daripada ayahnya sendiri, Datuk Shamsuddin bin Julak bin
Takim, Ketua Kampong Penanjong yang pertama. Rakaman
tersebut mengambil masa selama 3 malam tetapi dalam masa kira-kira 6-7 jam.
Kemudian pada Mei 1972, Rahim Dulani
cuba mengarang hikayat tersebut tetapi masih dalam bentuk dan keadaan yang
tidak sempurna. Beliau tidak berputus asa dan mula mengarang lagi pada 29
Oktober 1982, penulis cuba untuk mula menulis dengan gigih untuk menyelesaikan
penulisan Hikayat Awang Si Ambok tersebut sehingga selesai. Usaha beliau
membuahkan hasil kerana pada tahun 1986, hasil penulisan beliau telah dicetak
dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Hikayat Awang Si Ambok tersebut
mempunyai 21 bab dengan tajuk kecil tersendiri dan mengandungi 113 mukasurat
termasuk glosari sebanyak 25 mukasurat.
SINOPSIS
Hikayat Awang Si
Ambok bermula apabila Raja Alam Ketika (
Raja Negeri Tanah Padang) yang mempunyai 7 orang isteri, tetapi kesemua
isterinya masih belum mempunyai anak. Raja Alam Ketika bernazar sekiranya
mendapat anak, dia akan memberikan anaknya yang bongsu kepada Raja Jin. Setelah
beberapa lama, semua isteri baginda pun mengandung dan mula mengidam makan
kijang. Raja Alam ketika sendiri pergi berburu dan dan berjaya mendapatkan
seekor kijang yang kemudian dimasak dan dimakan oleh isteri-isterinya. Setelah
beberapa lama, kesemua isterinya mengandung dan melahirkan anak secara berturut-turut. Semua
isterinya mendapat anak lelaki kecuali isterinya yang ketujuh, iaitu Si Bongsu,
mendapat anak seekor kera. Anak tersebut
kemudian diberi gelaran sebagai Awang Si Ambok. Awang Si Ambok tidak disukai
dan dipulaukan oleh abang-abangnya kecuali abangnya yang ke enam bernama Awang
Tengah. Hanya Awang Tengah sahaja teman Awang Si Ambok bermain dan berbagi
kasih sayang.
Suatu hari Raja Jin
dan Isterinya datang untuk menuntut nazar Raja Alam Ketika tetapi Raja Alam
Ketika meminta tempoh masa 7 hari atas permintaan Awang Si Ambok sendiri dan
Raja Jin bersetuju atas permintaan Raja Alam Kertika tersebut. Setelah sampai 7
hari, Raja Jin dan Isterinya datang semula untuk mengambil Awang Si Ambok.
Awang Si Ambok berpesan kepada Awang Tengah untuk menjaga ibunya, Si Bongsu. Awang
Si Ambok pergi bersama Raja Jin dengan melompat dari pokok ke pokok sambil
melemparkan dahan-dahan kayu kepada Raja Jin dan Isterinya sehingga terluka.
Sebaik saja sampai di Istana Raja Jin, mereka cuba menangkap Awang
Si Ambok tetapi tidak dapat kerana Awang Si Ambok memanjat pohon kelapa.Jika
Awang Si Ambok berjaya ditangkapnya maka tawanannya akan genap menjadi 40 termasuk
39 orang tuan puteri. Jika genap 40, barulah Raja Jin dan Isterinya memakan
mereka semua. Raja Jin kepenatan setelah mengejar Awang Si Ambok dan
kemudiannya pengsan apabila Awang Si Ambok melemparkan 2 tandan kelapa kepada
Raja Jin dan Isterinya. Mereka kemudiannya mati apabila inang nyawanya
dipecahkan oleh Awang Si Ambok.
Awang Si Ambok
kemudian menjelma menjadi Tuan Pemagat Nila di Gubah dan melepaskan 39 orang
tuan puteri dari kurungan Raja Jin dan menjadikan mereka sebagai saudaranya dan
mereka tinggal bersamanya. Awang Si Ambok membawa 39 orang puteri tersebut ke
Kuala Negeri Tanah Padang. Awang Si Ambok membuat negeri di Kuala Tanah Padang
melalui kuasa saktinya ia memperolehi sebuah istana lengkap dengan sebuah
negeri dari Negeri Bandar Kayangan. Suatu hari Awang Tengah telah berjumpa
dengan Awang Si Ambok di sana apabila ayahnya mengarahkannya untuk melihat ke
Muara tersebut. Mulai hari itu Awang Tengah selalu singgah di istana Awang Si
Ambok dan bermain-main bersama.
Suatu hari Raja Alam
Ketika mengarahkan anak-anaknya supaya pergi ke Negeri Karang Banda di Pusat
Air (di dalam laut) untuk mengambil Tuan Puteri Kelaban Judi (7 adik-beradik)
sebagai isteri. Awang Tengah enggan ikut kecuali Awang Si Ambok ikut namun
Awang Si Ambok bersetuju untuk ikut. Mereka berajung menggunakan Ajung Si Naga
Terbang. Mereka singgah di Tanjung Padang untuk mengambil Awang Tengah tanpa
mereka sedari Awang Si Ambok menyusup di bawah takap anjung Si Naga Terbang. Setelah
3 hari berajung, ajung Si Naga Terbang tiba di kawasan sebuah pulau besar
(Pulau Laut) tempat Raja Jin dan Isterinya tinggal di sana. Raja Jin meminta
cukai ayam putih.Awang Si Ambok memberitahu Awang Tengah supaya dirinya menjadi
cukai dan Awang Si Ambok pun ditinggalkan bersama Raja Jin tersebut tetapi
berjaya di bunuh oleh Awang Si Ambok apabila inang nyawa Raja Jin itu
dipecahkannya.
Di Pulau Laut itu Awang
Si Ambok berjaya mengambil rantai babi yang boleh bertukar menjadi perahu
layar.Awang Si Ambok berjaya bersembunyi semula di buritan anjung Si Naga
Terbang. Awang Si Ambok ditinggalkan di sebuah pulau apabila abang-abangnya
mengambil air di sana tetapi Awang Si Ambok berjaya mengejar abang-abangnya
menggunakan perahu layar dari rantai babi tersebut dan bersembunyi semula di
bawah takap anjung. Setelah beberapa lama berajung, Si Naga Terbang sampai di
Pusat Air. Mereka adik-beradik (kecuali Awang Si Ambok) cuba untuk menyelam
tetapi tidak sampai kerana takut kepada ikan Penjulung Kapur yang sangat besar.
Awang Si Ambok menawarkan diri untuk menyelam dan akhirnya berjaya membawa naik
Kelaban Judi dengan mengikatnya di ekornya.
Dalam pelayaran
pulang, mereka bertemu dengan 7 ekor Raja Naga, merupakan tunang kepada 7 orang
Tuan Puteri Kelaban Judi tersebut. Awang Si Ambok turun untuk melawan 7 ekor
naga itu dan semua mati dibunuhnya dengan menggunakan ekornya. Sebiji kepala
Raja Naga itu jatuh di haluan ajung dan sebiji lagi di buritan anjung. Mereka
akhirnya sampai ke Tanah Padang. Mereka (lima adik beradik) memberitahu Raja
Alam ketika bahawa mereka berjaya mendapatkan Tuan Puteri 7 beradik dan Awang
Tengah tidak dapat diharap. Abang yang pertama memberitahu bahawa dia mengheret
kelaban Judi itu naik ke atas ajung dengan sekejap saja. Kepala Raja Naga yang tertinggal di atas anjung itu mula berbau
busuk dan Raja Alam Ketika mengarahkan anak-anaknya untuk membuang
kepala-kepala tersebut. Raja Alam ketika juga mengarahkan Awang Tengah untuk
mengangkat tetapi hanya terangkat sedikit kerana sangat berat. Raja Alam ketika
kemudian menyuruh Awang Si Ambok untuk membuang kepala tersebut. Awang Si Ambok
berjaya membuang kepala-kepala tersebut
dengan menggunakan hujung ekornya
Suatu hari Raja Alam
Ketika mengarahkan anaknya 5 orang (kecuali Awang Tengah dan Awang Si Ambok)
untuk menaikkan Kelaban Judi ke dalam Surau Penangkilan tetapi tidak berhasil. Raja
Alam Ketika kemudian mengarahkan Awang Si Ambok untuk menaikkan Kelaban Judi
itu, dengan mengikat Kelaban Judi itu di hujung ekornya, dia berjaya
mengheretnya sampai ke dalam Lapau. Setelah lama Kelaban Judi terbiar di Lapau,
Raja Alam ketika menyuruh kelima-lima anaknya untuk membuka Kelaban Judi
tersebut tetapi tidak berjaya, akhirnya hanya Awang Si Ambok yang berjaya
membuka Kelaban Judi itu dengan syarat supaya kesemua lima orang abangnya itu
dibunuh dan dicencang untuk dijadikan tabur halaman dan syarat tersebut
dipersetujui oleh Raja Alam Ketika sendiri. Awang Si Ambok memberitahu Raja
Alam bahawa 7 orang Tuan Puteri itu akan dijadikannya isteri dan dia juga
bercerita mengenai semua kejahatan abang-abangnya itu terhadapnya. Awang Si
Ambok membawa Tuan-tuan Puteri Kelaban Judi ke Tanjung Padang.
Suatu hari Raja Alam
Ketika menjadi miskin dan ikut tinggal bersama-sama dengan Awang Si Ambok di
Negeri Tanjung Padang bersama 7 orang isterinya. Awang Si Ambok menjelma semula
menjadi Tuan Pemagat Nila Di Gubah setelah mengiyang (mencita kesaktiannya) dan
pakaiannya turun dari Negeri Bandar Kayangan. Tuan Pemagat Nila Di Gubah
membina 8 buah mahligai untuk 7 orang Tuan Puteri Kelaban Judi dan sebuah lagi
untuk puteri yang ke-39 (bakal isteri Awang Tengah). Tuan Pemagat Nila Di Gubah
menyimpan ‘sarung kera’nya di sisi Panggau Gading tujuh ringkat di atas Anjung
Pembujangan mahligai Tuan Puteri pertama kelaban Judi. Pembukaan Gendang
Jaga-Jaga di Lapau selama 40 hari 40 malam sempena perkahwinan Tuan Pemagat
Nila Di Gubah dengan Tuan Puteri Pertama Kelaban Judi. Setelah 40 hari, Tuan
Pemagat Nila Di Gubah dan Puteri pertama Kelaban Judi bernikah. Kedua mempelai
bersanding di atas Peinginan tujuh ringkat di dalam Surau Penangkilan.
Semasa malam
pertama, Tuan Pemagat Nila Di Gubah tertidur dengan tidak sedarkan diri. Tuan
Puteri Pertama Kelaban Judi terpandang sarung Awang Si Ambok, lalu diambilnya
dan dibakarnya. Habuk sarung itu menjadi emas berat sekati dan asapnya menjadi
bermacam-macam jenis kain. Tanpa sarung keris tersebut, Tuan Pemagat Nila Di
Gubah tidah dapat berubah menjadi kera lagi. Pada akhir hikayat tersebut, Tuan
Pemagat Nila Di Gubah menunggu masa untuk melangsungkan perkahwinan dengan enam
orang Tuan Puteri Kelaban Judi dan Awang Tengah dengan Tuan Puteri ke-39. Tuan
Pemagat Nila Di Gubah menjadi raja di Negeri Tanjung Padang yang akhirnya
menjadi sebuah negeri yang besar, aman dan makmur.
UNSUR-UNSUR YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT AWANG SI AMBOK
a)
Unsur Keagamaan
Contoh 1 :
“ Bismillah
kujatuhkan air adikku,
Bismillah kujatuhkan air kakakku,
airku bukan memalu akan,
airku tidak menyopan akan,
airku pemulih seri kakakku,
datanglah seri,
wahai datanglah seri,
seri pemikat si anak mata,
seri penambat si jantung hati!” (ms 31-32)
Contoh 2:
“ Ya Allah
ya Rabbi ya Tuhanku! Bapaknya, bukannya dapat dipermudahkan anak ini.
Bagaimanakah gaya kita menangkapnya? Ooi lai, turun kau,” kata Jin Bini. ( Bab
4, ms 25)
Contoh 3 :
Maka pada petang hari keenam pula, Malim-Malim
yang tujuh dan Sadar Badar yang tujuh sibuk mengarahkan sikap rias di Surau
Penangkilan kerana pekerjaan istiadat
berdikir dan berbedak di
Peinginan tujuh ringkat akan
dilangsungkan selepas maghrib. (Bab 18, ms 72)
Contoh 4 :
Sudah
Begitu itu, maka Alam Ketika segera membesarkan Tuan Pemagat Nila Di Gubah dan
Tuan Puteri Pertama Kelaban Judi itu dengan bacaan selawat kepada nabi tujuh
kali……… (Bab 19, ms 83)
b)
Unsur Puisi lama
I.
Talibun
Contoh 1: Contoh 2 :
Baju sampang
Baldu, Kurus kering
menyelirat,
Seluar
Kekandang Hati, Kurus kering
menyelasar,
Sulaman ibunya
lagi muda, Tulang belakang dapat dibilang,
Sejak dari
dahulu kala, Tulang
bidai-bidai dapat dijalin,
Sejak mula
meniti cinta, Mata luak
secupak lapan:
Dibakar tiada
hangus, Pulang pulih ke
asal,
Dicencang tiada
lumat, Asal kurus balik
berisi!
Digantung tiada
tinggi,
Direndam tiada
basah, (Bab 5, ms 30)
Ditetak tiada
luka,
Ditikam tiada lut.
(Bab 5, ms 28)
II.
Mantera
Contoh 1 :
“Iyang-iyangku
Si Dewata,
Bukanku asal
anak Si Pugut,
Bukanku asal
anak Si Bandan,
Aku asal raja
yang besar,
Membelah
angkasa raya,
Membelah bumi
yang kaca,
Memutar alam
empat penjuru,
Moga-moga turun
iyanganku,
Mahligai
bergantung tidak bertali,
Cukup dengan
abab kecapi,
Dengan gendang nakara
nakiri,
Dengan hamba
rakyat kurang satu empat puluh :
Malim Besar,
Malim Kedua,
Malim Ketiga,
Malim Keempat,
Malim Kelima,
Malim Keenam,
Malim Ketujuh;
Cukup dengan
Sadar Badar kurang satu empat puluh,
Dengan
dayang-dayang dalam pendayangan,
Dengan inang
pengasuh dalam mahligai!”
(Bab 7, ms 34)
Contoh 2:
“Wahai sang
angin,
Sang angin
bernama Silatan Burung,
Meniup
berenyai-renyai dari buritan,
Janganlah lama,
Janganlah
lambat,
Janganlah leka:
Sorongkan
ajungku ini,
Menuju
hala tujuan!” (Bab 10, ms 45)
c)
Unsur Kesaktian dan keajaiban
Unsur kesaktian
dan keajaiban Awang Si Ambok ini dapat dilihat sejak beliau dilahirkan lagi. Kelahiran
Awang Si Ambok merupakan satu keajaiban kerana dilahirkan sebagai seekor kera.
Walaupun seekor kera tetapi Awang Si Ambok sangat pintar dan kepintaran ini
dapat dilihat apabila dia berjaya membunuh Raja Jin dengan memecahkan inang
nyawa Raja Jin dan Isterinya dan menyelamat 39 Tuan Puteri yang dikurung oleh
Raja Jin tersebut. Awang Si Ambok adalah kera yang luar biasa, kerana dia mampu
membina negeri sendiri dengan mengiyang kuasa saktinya dengan meminta apa yang
dihajatinya melalui Negeri Bandar Kayangan.
Awang Si Ambok juga
sangat berani dan mempunyai kekuatan yang luar biasa, buktinya apabila dia berjaya
membunuh Raja Jin dan isterinya di Pulau Besar yang telah menghalang perjalanan
mereka untuk menuju ke Negeri Karang Beranda, Awang Si Ambok juga berjaya membunuh
ikan Penjulung Kapur di Negeri Karang Beranda yang menghalang abang-abangnya
daripada mengambil Kelaban Judi yang berada di dasar laut tersebut dan berjaya
mendapatkan Kelaban Judi dengan mengikat di hujung ekornya. Awang Si Ambok juga
berani melawan tujuh ekor Raja Naga dan memenggal kepala naga-naga tersebut dan
membuang kepala-kepala naga yang berbau busuk,yang tertinggal di ajung Si Naga
Terbang. Lalu suatu hari Raja Alam Ketika mengarahkan supaya Kelaban Judi
tersebut dinaikkan tetapi hanya Awang Si Ambok yang berjaya menaikkan Kelaban
Judi tersebut hingga ke Lapau dan juga berjaya membukanya. Awang Si Ambok juga mempunyai kuasa untuk berubah menjadi manusia
biasa dan menjadi Tuan Pemagat Nila Di Gubah, ini terjadi apabila “sarung
keris” nya di lucutkan dan memakai pakaian sakti yang turun dari Negeri Bandar
kayangan.
WATAK –WATAK DALAM HIKAYAT AWANG SI AMBOK
Dalam Hikayat
Awang Si Ambok banyak mempunyai watak-watak yang berlainan peranan seperti watak
utama dan watak penjarah. Watak utama dalam Hikayat Awang Si Ambok
ialah:
Ø Awang Si Ambok
Ø Awang Tengah
Ø Raja Alam Ketika
Ø Isteri-isteri Raja Alam Ketika
Ø Tuan Puteri kurang satu empat puluh
Ø Tujuh orang Tuan Puteri Kelaban Judi ( adik-beradik)
Ø
Manakala watak-watak penjarah ialah:
Ø Abang-abang Awang Si Ambok (dari anak pertama hingga kelima)
Ø Raja Jin dan Isterinya
Ø Raja Jin dan isterinya (di Pulau Laut)
Ø Tujuh ekor Raja Naga
LATAR TEMPAT
·
Negeri
Tanah Padang
·
Mahligai
Raja Jin dan Isterinya
·
Negeri
Tanjung Padang
·
Pulau
Besar
·
Negeri
Karang Beranda
·
Lautan
Lepas dan Laut Kalzium
·
Lapau
·
Surau
Penangkilan
Tema Hikayat Awang Si
Ambok dapat dilihat dari 3 aspek berlainan iaitu aspek yang utama ialah
mengenai perjalanan wira yang penuh cabaran dalam mengambil dan merampas 7
Puteri Kelaban Judi, yang merupakan tunangan kepada 7 ekor Raja Naga. Tema
utama ialah mengenai merampas tunangan musuhnya dan akhirnya wira menang dalam
pertarungan tersebut.
Aspek kedua ialah aspek
ketaatan dan kebaktian Awang Si Ambok kepada ayahnya, semua arahan ayahnya
dilakukan seperti merelakan dirinya untuk diberikan kepada Raja Jin sebagai
nazar, membuang kepala naga yang busuk di Ajung Si Naga Terbang, menaikkan
Kelaban Judi dan membukanya. Kemudian pabila negeri ayahnya menjadi miskin, dia
membawa ayahnya tinggal bersamanya walaupun pada mulanya ia berasa jauh hati apabila
mengetahui bahawa ayahnya ingin memberikannya kepada Raja Jin dan isterinya
sebagai nazar.
Aspek yang terakhir
ialah aspek perwiraan yang ditunjukkan oleh Awang Si Ambok sebagai wira dalam
hikayat ini. Kegagahan dan keberaniannya yang luar biasa itu dapat dilihat
apabila dia berani turun melawan musuh-musuh yang ada dihadapannya dan berjaya
menumpaskan mereka walaupun pada zahirnya ia hanya seekor kera tetapi mempunyai
kuasa yang luar biasa. Sifat tersebut dianggap luar biasa kerana kekuatan dan
kepintaran yang dimiliki oleh Awang Si Ambok itu membatasi zahirnya sebagai
seekor kera.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, Hikayat Awang Si Ambok adalah merupakan
sastera lisan dan juga merupakan sastera dongeng bagi masyarakat Tutong.
Hikayat Awang Si Ambok ini bersifat tradisional, hak milik bersama bagi
masyarakat melayu khususnya di Negara Brunei Darussalam, dan ia juga
diceritakan dari satu generasi ke satu generasi dan kesemua sastera lisan tidak
diketahui bila ia telah dicipta. Namun hasil usaha dari Awang penulisan Haji
Ibrahim Bin Hj. Abdul Ghani telah memberi peluang kepada kita untuk membaca dan
mengetahui kisah Awang Si Ambok ini.