Selasa, 22 Oktober 2013

Melayu Islam Beraja

          PENDAHULUAN

           Negara Brunei Darussalam adalah satu-satunya negara yang mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja. Melayu Islam Beraja bukanlah satu konsep yang baru bagi Negara Brunei Darussalam, ia telah menjadi akar umbi yang tidak boleh digugat-gugat. Melayu Islam Beraja merupakan tiga komponen yang penting. Ia adalah suatu yang utuh dan integral. Ia bukanlah tiga yang disatukan tapi adalah tiga yang bersatu. Namun harus diingat bahawa Islam adalah teras bagi konsep ini. Ini bermakna segala unsur-unsur yang terkandung di dalam komponen Melayu dan juga Beraja seperti kebudayaan, cara hidup, adat istiadat, cara pemerintahan dan sebagainya akan terus diterima pakai selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Ini bersesuaian dengan kata adat pepatih yang berbunyi “ ada itu bersendikan syarak (hukum), syarak (hukum) itu bersendikan Kitabullah”.

       SEJARAH KEWUJUDAN MELAYU ISLAM BERAJA
       Konsep MIB bukan lah suatu konsep yang sengaja di reka-reka atau di tiru-tiru oleh mana-mana konsep falsafah yang ada di negara-negara lain. Konsep ini telah sekian lama wujud.dan ianya diterima dan juga diamalkan sejak abad ke -15 masehi di Negara Brunei Darussalam. Sejarah telah membuktikan bahawa Melayu Islam Beraja telah wujud sejak Sultan Muhammad I sebagai Sultan Islam yang pertama (1363-1402) dan semakin teguh semasa pemerintahan Sultan Hassan (1582-1598). Kewujudan ini lebih diperkuatkan lagi oleh adanya catatan mengenai Melayu Islam Beraja di dalam Perlembagaan Brunei 1959 pada 29 September 1959 secara rasmi.
 “…Dari tiga rangkai kata Melayu Islam Beraja, terdapat unsur-unsur atau nilai-nilai yang positif untuk ketahanan Negara, umpamanya dari Melayu itu, ialah bahasanya. Siapapun tak boleh menyangkal, bahawa Bahasa Melayu itu adalah satu-satunya alat perpaduan kita yang paling elektif. Tanpa bahasa ini, kita tentunya tidak akan dikenali sebagai satu bangsa yang berdaulat lagi mempunyai identity. Demikian juga Islam, ialah ugama yang menjamin seluruh kepentingan rakyat dan penduduk dengan tidak mengira apa jua ugama, suku kaum dan keturunan. Pendeknya ugama Islam adalah jaminan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua. Kerana itu tidak siapa perlu takut atau ragu mengenainya. Sementara perkataan Beraja pula adalah menunjukkan kepada kerajaanyang bersultan atau Beraja yang sudah wujud dan menjadi warisan zaman semenjak dari beberapa abad lagi.”


Melayu Islam Beraja sebenarnya telah diamalkan dalam kehidupan masyarakat Brunei sejak beberapa abad yang lalu, cuma ia belum dinamakan Melayu Islam Beraja sehinggalah  pada 1 Januari 1984. Sebelum itu hanya dikenali sebagai Kesultanan Melayu Islam dan ini tidak semua masyarakat mengetahuinya. Namun pada hakikatnya unsur-unsur Melayu Islam Beraja telah lama diamalkan, dihayati dan dijadikan sandaran dalam kehidupan seharian orang Brunei sejak beratus-ratus tahun yang lalu.

            Negara Brunei Darussalam telah melalui lima period(zaman) dalam menegakkan Melayu Islam Beraja ( Konsep Negara), zaman yang pertama ialah :

1.      Zaman pengasasan Melayu Islam Beraja (1363 – 1485)
Awang Alak Betatar menegaskan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam sebaik sahaja baginda memeluk agama Islam dan menggunakan nama sebagai Sultan Muhammad Shah. Pengislamannya secara mutlak telah menjadikan baginda sebagai raja pertama yang memeluk agama Islam di Brunei yang mengetuai rakyat melayu untuk beransur-ansur menerapkan cara lehidupan islam.

2.      Zaman keemasan Melayu Islam Beraja (1485 – 1578)
Zaman ini merupakan zaman Sultan Bolkiah yang menaikkan status Brunei Darussalam dari sebuah Negara mardeka yang kecil menjadi sebuah empayar yang disegani. Semasa pemerintahan Baginda, wilayah-wilayah Brunei bertambah luas dalam tempoh 39 tahun.

3.      Zaman ujian dan ketahanan Melayu Islam Beraja (1578- 1957)
Zaman ini dikenalpasti sebagai zaman yang paling bercelaru di dalam sejarah Brunei dan dalam perkembangan Melayu Islam Beraja sebagai pegangan Negara. Ia dibahagikan kepada 5 tahap yang mempunyai peristiwa-peristiwa yang berbentuk perpecahan. Lima tahap tersebut ialah :
                               I.            Pendudukkan Sepanyol semasa Perang Kastila (1578)
                            II.            Perebutan kuasa semasa perang saudara 12 tahun (1661-19673)
                         III.            Penglibatan langsung keluarga Brooke ( 1839-1888)
                         IV.            Perlaksanaan perjanjian Naungan 1888 yang berat sebelah ( 1888-1905)
                            V.            Perlaksanaan Perjanjian Tambahan 1906 ( 1906-1959)

4.       Zaman pemulihan Melayu Islam Beraja ( 1959- 1983)
Penekanan rasmi oleh Kerajaan British bahawa Brunei mesti mempertahankan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah rasmi Negara yang telah diusahakan oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III secara khususnya bersama rakyat yang taat. Sebelum tahun 1975, satu siri perbincangan dan muzakarah telah dilaksanakan diantara delegasi Brunei ( yang diketuai oleh Sultan) dengan kerajaan British mengenai masa depan Brunei yang ditumpukan khusus bagi mengkaji perjanjian 1906. Secara praktisnya, Brunei berkehendak sebuah kerajaan sendiri dalam negeri dan tidak memerlukan lagi taraf negeri naungan.

5.      Zaman penegakkan Melayu Islam Beraja (bermula tahun 1984)
Empat tahun setelah penandatangani perjanjian 1979 dan persediaan untuk menerima tanggungjawab penuh sebagai sebuah Negara mardeka dilaksanakan, Negara Brunei Darussalam kini melangkah ke arena antarabangsa pada 1 Januari 1984 dengan membawa bersama satu indentiti dan calak keislaman melalui seruan suci “ Allahu Akbar ( Allah Maha Besar). Sejurus selepas seruan tersebut, Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengisyhtiarkan bahawa Falsafah Melayu Islam Beraja menjadi Falsafah Negara Brunei Darussalam dan dengan falsafah ini akan menjadi penentu calak Brunei.

      TITAH PERMASYHURAN HARI KEMERDEKAAN

           Pemasyhuran Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah yang menyatakan :

 “ Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang mardeka, berdaulat, demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama islam menurut Ahlusunah wal’ jamaah …”

               Kandungan titah Baginda semasa hari Kemerdekaan 1 Januari 1984 ini jelas menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah rasmi menjadi sebuah Negara yang Mardeka, bebas dari penjajah, diperintah oleh Sultan yang berdaulat, mengamalkan sistem demokratik yang bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam. Fahaman Melayu Islam Beraja perlu diterapkan kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di Negara ini, sekurang-kurangnya ia dapat memberikan suatu fahaman yang positif demi mengelakkan fahaman atau pandangan yang negatif.

       NEGARA MELAYU

           Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai batang hari, Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai Melayu" di Jambi. Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu Bangsa Melayu berasal dari Yunnan (Teori Yunnan) dan Bangsa Melayu berasal dari Nusantara (Teori Nusantara)

          Mengikut dari Lembaga perlambangan Brunei hanya terdapat 7 puak brunei saja yang sah rasmi di bawah pendaftaran kebangsaan Brunei di anggap puak jati Brunei yang asli iaitu Puak Melayu Brunei, Puak Kedayan, Puak Tutong, Puak Dusun, Puak Belait, Puak Murut dan Puak Bisaya. Bangsa Melayu itu bersikap lemah-lembut, suka tolong-menolong, bertolak ansur serta mengamalkan sikap-sikap yang yang mulia di samping berhemah tinggi. Dengan kata lain, Bangsa Melayu itu menyelesaikan masalah melalui perundingan dan permuafakatan. Kita adalah bangsa yang masih kekal dengan sifat awar galat, menghormati orang tua dan mengasihi kanak-kanak serta peka terhadap keadaan sekeliling

       NEGARA ISLAM

            Wujudnya Melayu Islam Beraja bermula apabila Islam telah dibawa melalui pendakwah-pendakwah dari Arab yang dijangkakan wujud pada  abad ke-10, perkembangan islam terus berkembang apabila Raja Brunei, Awang Alak Betatar telah memeluk agama Islam pada tahun 1360-an dengan menggunakan nama Sultan Mohammad Syah. Kenyataan Sultan Brunei menggunakan nama Islam ini ada disebut dalam sumber China yang mengatakan pada tahun 1370 kerajaan Poni (Brunei) ketika itu diperintah oleh Sultan Mahamosa ( Sultan Mohammad Syah). Kemudian semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, Sultan Brunei yang ke-5, Brunei telah menjadi pusat penyebaran agama Islam. Ini berlaku selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

          Kemudian Perlembagaan Negeri Brunei 1959 telah dimeterai pada 29 September 1959 di antara Kerajaan Brunei dan pihak Pemerintah British yang menaungi Negeri Brunei ketika itu. Perlembagaan Negeri Brunei 1959 telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi Brunei. Dalam perlembagaan tersebut juga dicatatkan bahawa perlantikan terhadap jawatan Menteri Besar, Timbalannya, Setiausaha Kerajaan mestilah terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam mengikut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan bermazhabkan Mazhab Shafii. Malah Majlis Ugama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Ugama telah ditubuhkan bagi tujuan memantapkan lagi perjalanan dan pentadbiran Islam di Brunei.Kemudian agama Islam berkembang dari generasi seterusnya sehingga sekarang hampir keseluruhan rakyat Brunei Darussalam berugama Islam.

        Fakta ini menjadi bukti yang cukup kuat pada menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu yang berlandaskan Islam dan Raja sebagai Ketua agama. Raja-Raja yang memerintah dengan penuh kebijaksanaan menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi dengan aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai landasan akidah, syariah dan akhlak. Kedudukan agama Islam terus diperkukuhkan, dikembangluaskan dan dikemaskan melalui bidang pentadbiran negara.

         NEGARA BERAJA

            Beraja melambangkan kedaulatan bagi sesebuah negara di bawah pemerintahan seorang raja yang telah wujud sejak awal abad masihi. Sistem beraja kita telah menjadi warisan dari sejak negara ini mula dibuka oleh Awang Alak Betatar. Kesultanan Brunei sesungguhnya sudah lama bertapak iaitu bermula dari Sultan Brunei yang pertama yang bernama Sultan Muhammad ( Awang Alak Betatar). Kegemilangan kesultanan Brunei meningkat apabila Sultan Brunei yang ke-5, Sultan Bolkiah membawa bersama Baginda gendang kebesaran Diraja semasa Baginda berangkat mengelilingi keseluruhan pulau Borneo.

         Sistem beraja ini sangat jelas dan kukuh kerana raja adalah sebagai ketua. Masyarakat purba menganggap raja adalah sebagai inkarnasi dari Tuhan, oleh itu raja dikatakan sebagai seorang yang mempunyai “super power”. Bagi rakyat yang derhaka kepada raja mereka dipercayai akan mendapat kesukaran dalam hidupnya kerana raja mempunyai kedaulatan yang sentiasa membawa rahmat kepada rakyat.

         Kedudukan raja melalui proses perlantikkannya dalam pemerintahan beraja yang sudah wujud sejak Negara ini dibuka, terus diperkemaskinikan sebagaimana yang telah termaktub dalam permasyhuran Mengangkat Raja dan melantik Pemangku Raja, 1959 dalam bab (4) ceraian (1) telah mensyaratkan bahawa :
 “ seseorang itu tidak boleh disifatkan sebagai waris yang sah seperti yang tersebut dalam bab  (3) kalau dia bukan laki-laki keturunan sah dari sebelah laki-laki dan kalau dia tidak memeluki agama islam,”.

          Jelas disini bahawa sistem beraja itu wujud dari Sultan Brunei yang pertama lagi dan diteruskan sehingga sekarang. Hari ini kita menikmati kesempurnaan kehidupan baik dari segi sosial, dari segi budaya, dari segi pendapatan mahupun dar segi tingkat persefahaman yang bersepadu, sistem beraja itu wajar dipertahankan dan diamalkan kerana sejarah telah membuktikan sistem ini pernah menjadi sebuah empayar yang besar yang berwibawa serta dihormati.

         KESIMPULAN

           Kewujudan Melayu Islam Beraja itu memang wujud sekian lama dan akan terus bertahan dengan kukuhnya sebagai wadah ketahanan nasional negara yang unik dan mempunyai keistimewaan sejarahnya yang cemerlang. Setelah pengishtiharan kemerdekaan  secara rasmi pada 1 Januari 1984 telah menjadikan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah penduduk Negara Brunei Darussalam secara tetap serta menjadi panduan .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan