Selasa, 22 Oktober 2013

Syair Perahu karya Hamzah Fansuri

      Syair perahu adalah merupakan karya terkenal hasil daripada ciptaan Hamzah Fansuri. Hamzah Fansuri merupakan seorang sasterawan berasal daripada Indonesia. Dari nama belakangnya “Fansur” berasal dari Barus, kampung kuno yang berada di antara kota Singkil dan Sibolga, daerah pesisir Barat pulau Sumatera, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab menjadi “Fansur”. Hamzah Fansuri dianggarkan hidup antara pertengahan abad ke -16 sampai awal abad ke -17, beliau merupakan salah seorang tokoh besar yang pernah dilahirkan oleh sejarah keemasan masa lampau nusantara Melayu-Indonesia. Beliau dianggap sebagai tokoh yang paling berjasa dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu klasik. Beliau merupakan sastrawan sufi yang terkenal kerana telah banyak melahirkan karya-karya sufi baik yang berbentuk prosa mahupun yang berbentuk puisi atau syair. 

    Di antara karya sastra sufinya yang terkenal adalah syair perahu. Syair ini mengandungi nilai-nilai tasawuf yang sangat tinggi dan telah mempengaruhi warna kesufian di kerajaan Aceh pada zaman hingga sampai ke zaman sekarang.. Pada waktu itu kedudukan Hamzah Fansuri begitu penting sekali kerana beliau adalah penyair pertama yang menulis bentuk syair dalam bahasa Melayu. Sumbangan besarnya bagi bahasa Melayu adalah asas awal yang dipancangkannya terhadap peranan bahasa Melayu sebagai bahasa keempat di dunia Islam sesudah bahasa Arab, Persia, dan Turki Utsmani. Kedalaman ilmu yang dimiliki telah mengangkatnya ke tempat kedudukan tinggi dalam dunia sastera Nusantara. Hamzah Fansuri dikenal sebagai tokoh sastrawan sufi yang telah menjadikan sastera sebagai media untuk mengungkapkan idea-idea dan perasaan rindunya kepada Allah sang pencipta.


     Dalam Ensiklopedi Umum (1973) mengatakan Hamzah Fansuri adalah seorang penyair dan ahli tasawuf yang berasal dari Barus, Sumatera. Aliran Hamzah Fansuri dalam ilmu tasawuf sangat terpengaruh sehingga ke Tanah Jawa. Selain itu juga Hamzah Fansuri terkenal dengan teori Wahdatul Wujud di mana fahaman ini sangat ditentang oleh Nuruddin Ar-Raniri. Beliau mengatakan bahawa Hamzah dan Syamsuddin Sumatrani yang mengajarkan wahdatul wujud adalah sesat dan bertentangan dengan apa yang difahami oleh beliau. Ini adalah kerana di India, wahdatul wujud sangat ditentang oleh ahli aqidah di India dan situasi yang sama dibawa ke Aceh dengan mempengaruhi Sultanah Taj Al-Alam Safatudin Shah (1641-1675) untuk membakar dan mengharamkan nama Hamzah Fansuri dan karyanya. Oleh yang demikian, nama dan peranan Hamzah Fansuri banyak tidak kelihatan dalam karya Indonesia seperti Hikayat Acheh (Ooi Keat Gin. 2004: 561-562). Hamzah Fansuri meninggal pada akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda Meukuta Alam (1607-1636 M)

Syair Perahu:



Syair Perahu
Oleh Hamzah Fansuri.

Inilah gerangan suatu madah,
Mengarangkan syair terlalu indah,
Membutuhi jalan tempat berpindah,
Di sanalah ikhtikad diperbetuli sudah.

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman,
Hasilkan kemudi dengan pedoman,
Alat perahumu jua kerjakan,
Itulah jalan membetuli insan.

Perteguh juga alat perahmu,
Hasilkan bekal air dan kayu,
Dayung pengayuh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu.

Sudahlah hasil kayu dan air,
Angkatlah pula sauh dan layar,
Padi beras bekal janganlah taksir,
Nescaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
Muaranya sempit tempatmu lalu,
Banyaklah di sana ikan dan hiu,
Menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikan pun banyak,
Di sanalah perahu,karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti tombak,
Ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang,
Riaknya rencam ombaknya garang,
Ikan pun banyak datang menyerang,
Hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
Di manakah lalu sampan dan rakit,
Jikalau ada pedoman dikepit,
Sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
Hasilkan pendapat dengan tali sauh,
Anginnya keras ombaknya cabuh,
Lailahaillallah akan tali teguh.

Barangsiapa bergantung ke situ,
Teduhlah selebu yang rencam itu,
Pedoman betuli perahumu itu,
Selamat engkau ke pulau itu.

Lailahaillalah jua yang engkau ikut,
Di laut keras taufan dan rebut,
Hiu dan paus di belakang menurut,
Bertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Sailan terlalu dalam,
Di sanalah perahu rosak dan karam,
Sungguhpun banyak di sana penyelam,
Larang mendapat permata nilam.

Laut Sailan Wahid al-Qahhar,
Raknya rencam ombaknya besar,
Anginnya sonsongan membeluk sangkar,
Perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
Ke sanalah kita semuanya berpindah,
Hasilkan bekal dan juadah,
Selamatlah engkau sempurnalah musyahadah.

Sailan itu ombaknya kisah,
Banyak akan ke sana berpindah,
Taufan dan ribut terlalu azamah,
Perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut kalzum terlalu dalam,
Ombaknya muhit pada sekalian alam,
Banyaklah di sana rosak dan karam,
Perbaiki nan siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
Laut deras bertambah dalam,
Angin pun keras ombaknya rencam,
Ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
Angin yang keras menjadi teduh,
Tambahan selebu tetap yang cabuh,
Selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah Ahad dengan masanya,
Datanglah angin dengan paksanya,
Belayar perahu sidang budimannya,
Belayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
Ilmu Allah akan dayungnya,
Iman Allah nama kemudinya,
Yakin akan Allah nama pawangnya.

Taharah dan istinjak nama lantainya,
Kufur dan maksiat air ruangnya,
Tawakal akan Allah jurubatunya,
Tauhid itu akan sauhnya.

Lailahaillalah akan talinya,
Kamal Allah akan tiangnya,
Assalammualaikum akan tali lenggangnya,
Taat dan ibadat akan dayungnya.

Selawat akan nabi tali bubutannya,
Istighfar akan Allah akan layarnya,
Allahu akhbar nama anginnya,
Subhanallah akan lajunya.

Allahu a’lam nama rantaunya,
Iradat Allah nama bandarnya,
Kudrat Allah nama labuhnya,
Syurga Jannat anna’im nama negerinya.

Sumber: Zuber Usman,1969.
Kesusasteraan Lama Indonesia,

Melaka: Penerbitan Abbas Bandung.




  LATAR MASYARAKAT YANG TERDAPAT DALAM SYAIR INI

      Latar masyarakat juga dikenali sebagai citra masyarakat. Latar ini menunjukkan gambaran tentang masyarakat dalam cerita mahupun sajak atau syair. Latar masyarakat merangkumi bangsa, taraf hidup, pekerjaan, amalan-amalan yang masih diamalkan, kepercayaan, tingkah laku dan sebagainya. Manakala maksud masyarakat adalah sejumlah manusia yang merupakan satu kesatuan golongan yang berhubungan tetap dan mempunyai kepentingan yang sama. Masyarakat melahirkan satu budaya atau adat, iaitu peraturan-peraturan yang tidak bertulis seperti pantang larang dalam masyarakat melayu.

      Perkataan masyarakat berasal dari bahasa Arab iaitu Syakara yang bermaksud ikut serta atau partisipasi. Menurut Ralph Linton (1968) masyarakat adalah setiap kelompok manusia yang hidup dan bekerja sama dalam waktu yang lama dan mampu membuat keteraturan dalam kehidupan bersama dan mereka menganggapnya sebagai satu kesatuan sosial. Menurut Selo Sumarjan (1974) masyarakat adalah orang-orang yang hidup bersama yang menghasilkan kebudayaan.

       Di dalam rangka pertama syair, pengarang tidak memperlihatkan soal latar masyarakat tetapi pengarang menjelaskan tentang keindahan syair yang dihasilkannya untuk pembaca. Manakala dalam rangkap kedua, pengarang memfokuskan syair ini kepada golongan muda. Perahu dianggap sebagai tubuh badan seseorang yang tidak kekal di dunia ini. Rangkap ini memberi peringatan kepada masyarakat bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati jua. Di sini juga melihatkan latar masyarakat tempat tinggal pengarang yang tinggal di daerah pesisir Barat pulau Sumatera yang kebanyakannya adalah nelayan.

         Manakala dalam rangkap ketiga adalah mengenai kehidupan. Hidup mestilah berlandaskan pedoman yang sudah tersedia. Pedoman-pedoman itu dijadikan panduan dalam kehidupan supaya masyarakat hidup bersatu padu dan hidup dalam kelompok masyarakat yang aman damai. Rangkap ke empat syair bermaksud, anggota badan mestilah teguh dan kuat untuk melancarkan perjalanan hidup kita. Di sini pengarang menggunakan  alat perahu sebagai simbol kepada anggota badan.

     Di dalam rangkap kelima syair memberikan latar masyarakat yang pada waktu itu menjadikan beras atau padi sebagai makanan asasi mereka, selain itu ia juga bermaksud kekuatan. Jika kita mempunyai kekuatan, kita mampu meneruskan hidup dengan sempurna dan tidak sia-sia. Kemudian dalam rangkap ke enam syair ada menyebut muara, iaitu tempat perlabuhan kapal. Sesuai dengan latar masyarakat yang tinggal di persisiran pulau pada waktu pengarang menghasilkan syair ini. Syair ini juga bermaksud, hidup ini penuh dengan pelbagai cabaran yang hanya menunggu peluang untuk mencabar hidup manusia.

       Rangkap ketujuh syair memperlihatkan kehidupan nelayan yang menangkap ikan untuk mata pencarian, namun pekerjaan nelayan kadangkala mendatangkan risiko kerana adanya badai dan ribut yang boleh mengaramkan dan merosakkan perahu nelayan. Selain itu juga dalam rangkap ini memberi maksud tentang cabaran-cabaran yang hebat boleh melemahkan iman dan pegangan manusia. Rangkap kelapan syair meihatkan latar masyarakat yang ada sebilangannya menjadi anak dagang dengan membawa hasil dagangan menggunakan kapal atau perahu. Ombak dan ikan yang dimaksudkan  oleh pengarang ialah cabaran. Jika seseorang itu tidak teguh pendirian atau tidak tahan dengan cabaran, ia boleh menewaskan manusia.

      Rangkap sembilan syair bermaksud jika hidup seseorang itu berpedoman, hidup orang itu akan mudah walaupun perjalanannya terlalu jauh. Manakala dalam rangkap kesepuluh syair bermaksud, kita dinasihati supaya melengkapkan diri dengan keimanan supaya segala bentuk cabaran dapat diatasi. Di samping itu,kita dinasihati supaya percayakan Allah. Kedua rangkap ini menyatakan mengenai masyarakat islam yang perlu melengkapkan diri dengan keimanan, ketaqwaan dan percaya kepada Allah S.W.T dalam mengahadapi cabaran-cabaran kehidupan. Dengan beriman kepada Allah, masyarakat hidup dengan penuh keyakinan dan sabar dalam mengahadapi ujian

     Rangkap kesebelas syair bermaksud, sesiapa yang bergantung kepada Allah akan beroleh keselamatan dan rangkap keduabelas syair bermaksud, jika Allah yang disembah, segala bentuk cabaran dan kesusahan dapat diatasi. Di samping itu, beriman kepada Allah akan memantapkan hidup kita. Rangkap tigabelas syair bermaksud, Laut Sailan adalah lambang kepada cabaran yang boleh memusnahkan hidup manusia.

     Rangkap keempatbelas syair bermaksud, kita dinasihati supaya menguatkan peribadi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran. Rangkap limabelas syair bermaksud, kita semua akan kembali kepada Tuhan. Oleh itu, kita dinasihati supaya melengkapkan diri dengan bekalan supaya memperoleh kebahagian kelak. Rangkap keenambelas syair bermaksud pelbagai dugaan perlu ditempuhi oleh manusia. Manusia perlu menguatkan iman mereka.

     Rangkap ketujuhbelas syair bermaksud, cabaran-cabaran yang hebat itu perlu ditempuhi oleh manusia dan ada antara mereka yang tidak sanggup menghadapinya. Oleh itu manusia dikehendaki melengkapkan diri dengan ilmu tidak kira siang atau malam. Rangkap kelapanbelas syair bermaksud, kita diseru mengingati Allah setiap masa. Maka kita tidak akan tersesat. Rangkap kesembilanbelas syair bermaksud, dengan mengingati dan beramal, manusia akan selamat.

      Rangkap keduapuluh syair bermaksud, manusia yang lengkap dengan ilmu dan kuat imannya,tidak akan gentar menempuh segala bentuk cabaran. Rangkap keduapuluhsatu syair bermaksud,ilmu,keimanan dan keyakinan kepada Allah penting dalam hidup manusia. Rangkap keduapuluhdua syair bermaksud menyucikan diri, menjauhi perkara terkutuk, bertawakal dan mengakui keesaan Tuhan itu sangat penting.

     Rangkap kedua puluh tiga syair bermaksud, di samping mengakui keesaan Allah, kita juga mesti taat kepada Allah. Rangkap kedua puluh empat syair bermaksud,kita mesti berselawat, beristigfar dan memuji kebesaran Allah. Rangkap kedua puluh lima syair bermaksud, Allah menguasai alam kuasa-Nya sangat besar dam Allah yang menentukan syurga untuk kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan