Selasa, 22 Oktober 2013

Hikayat Awang Si Ambok ( Sastera Tradisional Brunei)

Hikayat Awang Si Ambok adalah merupakan sastera lisan yang berasal daripada daerah Tutong. Sastera lisan ialah cerita yang disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang mengetahui cerita tersebut daripada generasi mereka yang terdahulu. Sastera lisan ini bersifat tradisional, dimiliki oleh masyarakat melayu yang disebarkan dari satu generasi kesatu generasi. Bila ia dicipta dan siapa pencipta sastera lisan juga tidak diketahui namun hasil usaha dari pengarang dan penulisnya, sastera lisan dapat dicetak dan dibukukan.

           Hikayat Awang Si Ambok adalah merupakan hasil penulisan dan karangan daripada  Awang Haji Ibrahim bin Haji Abdul Ghani atau dikenali sebagai Rahim Dulani. Beliau minat dalam pengumpulan dan pembukuan cerita-cerita rakyat yang ada di daerahnya dan Hikayat Awang Si Ambok adalah merupakan hasil pertama beliau dan ia berjaya membuahkan hasil sehingga dapat dibaca oleh generasi sekarang.


           Beliau merakam Hikayat Awang Si Ambok ini pada 6 April 1972, di rumah penuturnya sendiri iaitu Dayang Maimunah bte Shamsuddin, di Kampong Penanjong, Tutong. Dayang Maimunah bte Shamsuddin mendengar hikayat ini semasa beliau berumur kira-kira Sembilan tahun pada tahun 1902. Beliau mendengar hikayat ini daripada ayahnya sendiri, Datuk Shamsuddin bin Julak bin Takim, Ketua Kampong Penanjong yang pertama. Rakaman tersebut mengambil masa selama 3 malam tetapi dalam masa kira-kira 6-7 jam. Kemudian pada Mei 1972,  Rahim Dulani cuba mengarang hikayat tersebut tetapi masih dalam bentuk dan keadaan yang tidak sempurna. Beliau tidak berputus asa dan mula mengarang lagi pada 29 Oktober 1982, penulis cuba untuk mula menulis dengan gigih untuk menyelesaikan penulisan Hikayat Awang Si Ambok tersebut sehingga selesai. Usaha beliau membuahkan hasil kerana pada tahun 1986, hasil penulisan beliau telah dicetak dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Hikayat Awang Si Ambok tersebut mempunyai 21 bab dengan tajuk kecil tersendiri dan mengandungi 113 mukasurat termasuk glosari sebanyak 25 mukasurat.

   SINOPSIS
      Hikayat Awang Si Ambok  bermula apabila Raja Alam Ketika ( Raja Negeri Tanah Padang) yang mempunyai 7 orang isteri, tetapi kesemua isterinya masih belum mempunyai anak. Raja Alam Ketika bernazar sekiranya mendapat anak, dia akan memberikan anaknya yang bongsu kepada Raja Jin. Setelah beberapa lama, semua isteri baginda pun mengandung dan mula mengidam makan kijang. Raja Alam ketika sendiri pergi berburu dan dan berjaya mendapatkan seekor kijang yang kemudian dimasak dan dimakan oleh isteri-isterinya. Setelah beberapa lama, kesemua isterinya mengandung dan  melahirkan anak secara berturut-turut. Semua isterinya mendapat anak lelaki kecuali isterinya yang ketujuh, iaitu Si Bongsu, mendapat anak seekor kera. Anak tersebut kemudian diberi gelaran sebagai Awang Si Ambok. Awang Si Ambok tidak disukai dan dipulaukan oleh abang-abangnya kecuali abangnya yang ke enam bernama Awang Tengah. Hanya Awang Tengah sahaja teman Awang Si Ambok bermain dan berbagi kasih sayang.

         Suatu hari Raja Jin dan Isterinya datang untuk menuntut nazar Raja Alam Ketika tetapi Raja Alam Ketika meminta tempoh masa 7 hari atas permintaan Awang Si Ambok sendiri dan Raja Jin bersetuju atas permintaan Raja Alam Kertika tersebut. Setelah sampai 7 hari, Raja Jin dan Isterinya datang semula untuk mengambil Awang Si Ambok. Awang Si Ambok berpesan kepada Awang Tengah untuk menjaga ibunya, Si Bongsu. Awang Si Ambok pergi bersama Raja Jin dengan melompat dari pokok ke pokok sambil melemparkan dahan-dahan kayu kepada Raja Jin dan Isterinya sehingga terluka. Sebaik saja sampai di Istana Raja Jin, mereka cuba menangkap Awang Si Ambok tetapi tidak dapat kerana Awang Si Ambok memanjat pohon kelapa.Jika Awang Si Ambok berjaya ditangkapnya maka tawanannya akan genap menjadi 40 termasuk 39 orang tuan puteri. Jika genap 40, barulah Raja Jin dan Isterinya memakan mereka semua. Raja Jin kepenatan setelah mengejar Awang Si Ambok dan kemudiannya pengsan apabila Awang Si Ambok melemparkan 2 tandan kelapa kepada Raja Jin dan Isterinya. Mereka kemudiannya mati apabila inang nyawanya dipecahkan oleh Awang Si Ambok.

       Awang Si Ambok kemudian menjelma menjadi Tuan Pemagat Nila di Gubah dan melepaskan 39 orang tuan puteri dari kurungan Raja Jin dan menjadikan mereka sebagai saudaranya dan mereka tinggal bersamanya. Awang Si Ambok membawa 39 orang puteri tersebut ke Kuala Negeri Tanah Padang. Awang Si Ambok membuat negeri di Kuala Tanah Padang melalui kuasa saktinya ia memperolehi sebuah istana lengkap dengan sebuah negeri dari Negeri Bandar Kayangan. Suatu hari Awang Tengah telah berjumpa dengan Awang Si Ambok di sana apabila ayahnya mengarahkannya untuk melihat ke Muara tersebut. Mulai hari itu Awang Tengah selalu singgah di istana Awang Si Ambok dan bermain-main bersama.

       Suatu hari Raja Alam Ketika mengarahkan anak-anaknya supaya pergi ke Negeri Karang Banda di Pusat Air (di dalam laut) untuk mengambil Tuan Puteri Kelaban Judi (7 adik-beradik) sebagai isteri. Awang Tengah enggan ikut kecuali Awang Si Ambok ikut namun Awang Si Ambok bersetuju untuk ikut. Mereka berajung menggunakan Ajung Si Naga Terbang. Mereka singgah di Tanjung Padang untuk mengambil Awang Tengah tanpa mereka sedari Awang Si Ambok menyusup di bawah takap anjung Si Naga Terbang. Setelah 3 hari berajung, ajung Si Naga Terbang tiba di kawasan sebuah pulau besar (Pulau Laut) tempat Raja Jin dan Isterinya tinggal di sana. Raja Jin meminta cukai ayam putih.Awang Si Ambok memberitahu Awang Tengah supaya dirinya menjadi cukai dan Awang Si Ambok pun ditinggalkan bersama Raja Jin tersebut tetapi berjaya di bunuh oleh Awang Si Ambok apabila inang nyawa Raja Jin itu dipecahkannya.

      Di Pulau Laut itu Awang Si Ambok berjaya mengambil rantai babi yang boleh bertukar menjadi perahu layar.Awang Si Ambok berjaya bersembunyi semula di buritan anjung Si Naga Terbang. Awang Si Ambok ditinggalkan di sebuah pulau apabila abang-abangnya mengambil air di sana tetapi Awang Si Ambok berjaya mengejar abang-abangnya menggunakan perahu layar dari rantai babi tersebut dan bersembunyi semula di bawah takap anjung. Setelah beberapa lama berajung, Si Naga Terbang sampai di Pusat Air. Mereka adik-beradik (kecuali Awang Si Ambok) cuba untuk menyelam tetapi tidak sampai kerana takut kepada ikan Penjulung Kapur yang sangat besar. Awang Si Ambok menawarkan diri untuk menyelam dan akhirnya berjaya membawa naik Kelaban Judi dengan mengikatnya di ekornya.

          Dalam pelayaran pulang, mereka bertemu dengan 7 ekor Raja Naga, merupakan tunang kepada 7 orang Tuan Puteri Kelaban Judi tersebut. Awang Si Ambok turun untuk melawan 7 ekor naga itu dan semua mati dibunuhnya dengan menggunakan ekornya. Sebiji kepala Raja Naga itu jatuh di haluan ajung dan sebiji lagi di buritan anjung. Mereka akhirnya sampai ke Tanah Padang. Mereka (lima adik beradik) memberitahu Raja Alam ketika bahawa mereka berjaya mendapatkan Tuan Puteri 7 beradik dan Awang Tengah tidak dapat diharap. Abang yang pertama memberitahu bahawa dia mengheret kelaban Judi itu naik ke atas ajung dengan sekejap saja. Kepala Raja Naga yang tertinggal di atas anjung itu mula berbau busuk dan Raja Alam Ketika mengarahkan anak-anaknya untuk membuang kepala-kepala tersebut. Raja Alam ketika juga mengarahkan Awang Tengah untuk mengangkat tetapi hanya terangkat sedikit kerana sangat berat. Raja Alam ketika kemudian menyuruh Awang Si Ambok untuk membuang kepala tersebut. Awang Si Ambok berjaya membuang kepala-kepala tersebut  dengan menggunakan hujung ekornya

      Suatu hari Raja Alam Ketika mengarahkan anaknya 5 orang (kecuali Awang Tengah dan Awang Si Ambok) untuk menaikkan Kelaban Judi ke dalam Surau Penangkilan tetapi tidak berhasil. Raja Alam Ketika kemudian mengarahkan Awang Si Ambok untuk menaikkan Kelaban Judi itu, dengan mengikat Kelaban Judi itu di hujung ekornya, dia berjaya mengheretnya sampai ke dalam Lapau. Setelah lama Kelaban Judi terbiar di Lapau, Raja Alam ketika menyuruh kelima-lima anaknya untuk membuka Kelaban Judi tersebut tetapi tidak berjaya, akhirnya hanya Awang Si Ambok yang berjaya membuka Kelaban Judi itu dengan syarat supaya kesemua lima orang abangnya itu dibunuh dan dicencang untuk dijadikan tabur halaman dan syarat tersebut dipersetujui oleh Raja Alam Ketika sendiri. Awang Si Ambok memberitahu Raja Alam bahawa 7 orang Tuan Puteri itu akan dijadikannya isteri dan dia juga bercerita mengenai semua kejahatan abang-abangnya itu terhadapnya. Awang Si Ambok membawa Tuan-tuan Puteri Kelaban Judi ke Tanjung Padang.

       Suatu hari Raja Alam Ketika menjadi miskin dan ikut tinggal bersama-sama dengan Awang Si Ambok di Negeri Tanjung Padang bersama 7 orang isterinya. Awang Si Ambok menjelma semula menjadi Tuan Pemagat Nila Di Gubah setelah mengiyang (mencita kesaktiannya) dan pakaiannya turun dari Negeri Bandar Kayangan. Tuan Pemagat Nila Di Gubah membina 8 buah mahligai untuk 7 orang Tuan Puteri Kelaban Judi dan sebuah lagi untuk puteri yang ke-39 (bakal isteri Awang Tengah). Tuan Pemagat Nila Di Gubah menyimpan ‘sarung kera’nya di sisi Panggau Gading tujuh ringkat di atas Anjung Pembujangan mahligai Tuan Puteri pertama kelaban Judi. Pembukaan Gendang Jaga-Jaga di Lapau selama 40 hari 40 malam sempena perkahwinan Tuan Pemagat Nila Di Gubah dengan Tuan Puteri Pertama Kelaban Judi. Setelah 40 hari, Tuan Pemagat Nila Di Gubah dan Puteri pertama Kelaban Judi bernikah. Kedua mempelai bersanding di atas Peinginan tujuh ringkat di dalam Surau Penangkilan.

            Semasa malam pertama, Tuan Pemagat Nila Di Gubah tertidur dengan tidak sedarkan diri. Tuan Puteri Pertama Kelaban Judi terpandang sarung Awang Si Ambok, lalu diambilnya dan dibakarnya. Habuk sarung itu menjadi emas berat sekati dan asapnya menjadi bermacam-macam jenis kain. Tanpa sarung keris tersebut, Tuan Pemagat Nila Di Gubah tidah dapat berubah menjadi kera lagi. Pada akhir hikayat tersebut, Tuan Pemagat Nila Di Gubah menunggu masa untuk melangsungkan perkahwinan dengan enam orang Tuan Puteri Kelaban Judi dan Awang Tengah dengan Tuan Puteri ke-39. Tuan Pemagat Nila Di Gubah menjadi raja di Negeri Tanjung Padang yang akhirnya menjadi sebuah negeri yang besar, aman dan makmur.

        UNSUR-UNSUR YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT AWANG SI AMBOK
a)      Unsur Keagamaan
Contoh 1 :
“ Bismillah kujatuhkan air adikku,
   Bismillah kujatuhkan air kakakku,
   airku bukan memalu akan,
   airku tidak menyopan akan,
   airku pemulih seri kakakku,
   datanglah seri,
   wahai datanglah seri,
   seri pemikat si anak mata,
   seri penambat si jantung hati!” (ms 31-32)

Contoh 2:
Ya Allah ya Rabbi ya Tuhanku! Bapaknya, bukannya dapat dipermudahkan anak ini. Bagaimanakah gaya kita menangkapnya? Ooi lai, turun kau,” kata Jin Bini. ( Bab 4, ms 25)

Contoh 3 :
 Maka pada petang hari keenam pula, Malim-Malim yang tujuh dan Sadar Badar yang tujuh sibuk mengarahkan sikap rias di Surau Penangkilan  kerana pekerjaan istiadat berdikir  dan berbedak di Peinginan  tujuh ringkat akan dilangsungkan selepas maghrib. (Bab 18, ms 72)

Contoh 4 :
Sudah Begitu itu, maka Alam Ketika segera membesarkan Tuan Pemagat Nila Di Gubah dan Tuan Puteri Pertama Kelaban Judi itu dengan bacaan selawat kepada nabi tujuh kali……… (Bab 19, ms 83)

b)     Unsur Puisi lama
                                           I.            Talibun
Contoh 1:                                    Contoh 2 :
Baju sampang Baldu,                 Kurus kering menyelirat,
Seluar Kekandang Hati,             Kurus kering menyelasar,
Sulaman ibunya lagi muda,       Tulang belakang dapat dibilang,
Sejak dari dahulu kala,              Tulang bidai-bidai dapat dijalin,          
Sejak mula meniti cinta,            Mata luak secupak lapan:
Dibakar tiada hangus,                Pulang pulih ke asal,
Dicencang tiada lumat,               Asal kurus balik berisi!
Digantung tiada tinggi,
Direndam tiada basah,                (Bab 5, ms 30)
Ditetak tiada luka,
Ditikam tiada lut.
                              (Bab 5, ms 28)

                                        II.            Mantera
Contoh 1 :
“Iyang-iyangku Si Dewata,
Bukanku asal anak Si Pugut,
Bukanku asal anak Si Bandan,
Aku asal raja yang besar,                    
Membelah angkasa raya,
Membelah bumi yang kaca,
Memutar alam empat penjuru,
Moga-moga turun iyanganku,
Mahligai bergantung tidak bertali,
Cukup dengan abab kecapi,
Dengan gendang nakara nakiri,
Dengan hamba rakyat kurang satu empat puluh :
Malim Besar,
Malim Kedua,
Malim Ketiga,
 Malim Keempat,
Malim Kelima,
Malim Keenam,
Malim Ketujuh;
Cukup dengan Sadar Badar kurang satu empat puluh,
Dengan dayang-dayang dalam pendayangan,
Dengan inang pengasuh dalam mahligai!”
(Bab 7, ms 34)

Contoh 2:
“Wahai sang angin,
Sang angin bernama Silatan Burung,
Meniup berenyai-renyai dari buritan,
Janganlah lama,
Janganlah lambat,
Janganlah leka:
Sorongkan ajungku ini,
Menuju hala tujuan!” (Bab 10, ms 45)

c)      Unsur Kesaktian dan keajaiban
             Unsur kesaktian dan keajaiban Awang Si Ambok ini dapat dilihat sejak beliau dilahirkan lagi. Kelahiran Awang Si Ambok merupakan satu keajaiban kerana dilahirkan sebagai seekor kera. Walaupun seekor kera tetapi Awang Si Ambok sangat pintar dan kepintaran ini dapat dilihat apabila dia berjaya membunuh Raja Jin dengan memecahkan inang nyawa Raja Jin dan Isterinya dan menyelamat 39 Tuan Puteri yang dikurung oleh Raja Jin tersebut. Awang Si Ambok adalah kera yang luar biasa, kerana dia mampu membina negeri sendiri dengan mengiyang kuasa saktinya dengan meminta apa yang dihajatinya melalui Negeri Bandar Kayangan.

         Awang Si Ambok juga sangat berani dan mempunyai kekuatan yang luar biasa, buktinya apabila dia berjaya membunuh Raja Jin dan isterinya di Pulau Besar yang telah menghalang perjalanan mereka untuk menuju ke Negeri Karang Beranda, Awang Si Ambok juga berjaya membunuh ikan Penjulung Kapur di Negeri Karang Beranda yang menghalang abang-abangnya daripada mengambil Kelaban Judi yang berada di dasar laut tersebut dan berjaya mendapatkan Kelaban Judi dengan mengikat di hujung ekornya. Awang Si Ambok juga berani melawan tujuh ekor Raja Naga dan memenggal kepala naga-naga tersebut dan membuang kepala-kepala naga yang berbau busuk,yang tertinggal di ajung Si Naga Terbang. Lalu suatu hari Raja Alam Ketika mengarahkan supaya Kelaban Judi tersebut dinaikkan tetapi hanya Awang Si Ambok yang berjaya menaikkan Kelaban Judi tersebut hingga ke Lapau dan juga berjaya membukanya. Awang Si Ambok juga mempunyai kuasa untuk berubah menjadi manusia biasa dan menjadi Tuan Pemagat Nila Di Gubah, ini terjadi apabila “sarung keris” nya di lucutkan dan memakai pakaian sakti yang turun dari Negeri Bandar kayangan. 


      WATAK –WATAK DALAM HIKAYAT AWANG SI AMBOK
            Dalam Hikayat Awang Si Ambok banyak mempunyai watak-watak yang berlainan peranan seperti watak utama dan watak penjarah. Watak utama dalam Hikayat Awang Si Ambok ialah:
Ø  Awang Si Ambok
Ø  Awang Tengah
Ø  Raja Alam Ketika
Ø  Isteri-isteri Raja Alam Ketika
Ø  Tuan Puteri kurang satu empat puluh
Ø  Tujuh orang Tuan Puteri Kelaban Judi ( adik-beradik)
Ø   

Manakala watak-watak penjarah ialah:
Ø    Abang-abang Awang Si Ambok (dari anak pertama hingga kelima)
Ø    Raja Jin dan Isterinya
Ø    Raja Jin dan isterinya (di Pulau Laut)
Ø    Tujuh ekor Raja Naga

              LATAR TEMPAT
·         Negeri Tanah Padang 
·         Mahligai Raja Jin dan Isterinya
·         Negeri Tanjung Padang
·         Pulau Besar
·         Negeri Karang Beranda
·         Lautan Lepas dan Laut Kalzium
·         Lapau
·         Surau Penangkilan


 Tema Hikayat Awang Si Ambok dapat dilihat dari 3 aspek berlainan iaitu aspek yang utama ialah mengenai perjalanan wira yang penuh cabaran dalam mengambil dan merampas 7 Puteri Kelaban Judi, yang merupakan tunangan kepada 7 ekor Raja Naga. Tema utama ialah mengenai merampas tunangan musuhnya dan akhirnya wira menang dalam pertarungan tersebut.  

      Aspek kedua ialah aspek ketaatan dan kebaktian Awang Si Ambok kepada ayahnya, semua arahan ayahnya dilakukan seperti merelakan dirinya untuk diberikan kepada Raja Jin sebagai nazar, membuang kepala naga yang busuk di Ajung Si Naga Terbang, menaikkan Kelaban Judi dan membukanya. Kemudian pabila negeri ayahnya menjadi miskin, dia membawa ayahnya tinggal bersamanya walaupun pada mulanya ia berasa jauh hati apabila mengetahui bahawa ayahnya ingin memberikannya kepada Raja Jin dan isterinya sebagai nazar.

      Aspek yang terakhir ialah aspek perwiraan yang ditunjukkan oleh Awang Si Ambok sebagai wira dalam hikayat ini. Kegagahan dan keberaniannya yang luar biasa itu dapat dilihat apabila dia berani turun melawan musuh-musuh yang ada dihadapannya dan berjaya menumpaskan mereka walaupun pada zahirnya ia hanya seekor kera tetapi mempunyai kuasa yang luar biasa. Sifat tersebut dianggap luar biasa kerana kekuatan dan kepintaran yang dimiliki oleh Awang Si Ambok itu membatasi zahirnya sebagai seekor kera.


 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, Hikayat Awang Si Ambok adalah merupakan sastera lisan dan juga merupakan sastera dongeng bagi masyarakat Tutong. Hikayat Awang Si Ambok ini bersifat tradisional, hak milik bersama bagi masyarakat melayu khususnya di Negara Brunei Darussalam, dan ia juga diceritakan dari satu generasi ke satu generasi dan kesemua sastera lisan tidak diketahui bila ia telah dicipta. Namun hasil usaha dari Awang penulisan Haji Ibrahim Bin Hj. Abdul Ghani telah memberi peluang kepada kita untuk membaca dan mengetahui kisah Awang Si Ambok ini.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum, kan tau ada kah bjual bukunya tu hikayat awang si ambok ah..

    BalasPadam