PENDAHULUAN
Negara Brunei Darussalam adalah satu-satunya
negara yang mengamalkan konsep Melayu Islam Beraja. Melayu Islam Beraja
bukanlah satu konsep yang baru bagi Negara Brunei Darussalam, ia telah menjadi
akar umbi yang tidak boleh digugat-gugat. Melayu Islam Beraja merupakan tiga
komponen yang penting. Ia adalah suatu yang utuh dan integral. Ia bukanlah tiga
yang disatukan tapi adalah tiga yang bersatu. Namun harus diingat bahawa Islam
adalah teras bagi konsep ini. Ini bermakna segala unsur-unsur yang terkandung di
dalam komponen Melayu dan juga Beraja seperti kebudayaan, cara hidup, adat
istiadat, cara pemerintahan dan sebagainya akan terus diterima pakai selagi ia
tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Ini bersesuaian dengan kata adat
pepatih yang berbunyi “ ada itu bersendikan syarak (hukum), syarak (hukum) itu
bersendikan Kitabullah”.
SEJARAH KEWUJUDAN
MELAYU ISLAM BERAJA
Konsep MIB bukan lah suatu konsep yang sengaja di reka-reka atau di
tiru-tiru oleh mana-mana konsep falsafah yang ada di negara-negara lain. Konsep
ini telah sekian lama wujud.dan ianya diterima dan juga diamalkan sejak abad ke
-15 masehi di Negara Brunei Darussalam. Sejarah telah membuktikan bahawa Melayu
Islam Beraja telah wujud sejak Sultan Muhammad I sebagai Sultan Islam yang
pertama (1363-1402) dan semakin teguh semasa pemerintahan Sultan Hassan
(1582-1598). Kewujudan ini lebih diperkuatkan lagi oleh adanya catatan mengenai
Melayu Islam Beraja di dalam Perlembagaan Brunei 1959 pada 29 September 1959
secara rasmi.
“…Dari tiga
rangkai kata Melayu Islam Beraja, terdapat unsur-unsur atau nilai-nilai yang
positif untuk ketahanan Negara, umpamanya dari Melayu itu, ialah bahasanya.
Siapapun tak boleh menyangkal, bahawa Bahasa Melayu itu adalah satu-satunya
alat perpaduan kita yang paling elektif. Tanpa bahasa ini, kita tentunya tidak
akan dikenali sebagai satu bangsa yang berdaulat lagi mempunyai identity.
Demikian juga Islam, ialah ugama yang menjamin seluruh kepentingan rakyat dan
penduduk dengan tidak mengira apa jua ugama, suku kaum dan keturunan. Pendeknya
ugama Islam adalah jaminan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua. Kerana
itu tidak siapa perlu takut atau ragu mengenainya. Sementara perkataan Beraja
pula adalah menunjukkan kepada kerajaanyang bersultan atau Beraja yang sudah
wujud dan menjadi warisan zaman semenjak dari beberapa abad lagi.”
Melayu Islam Beraja sebenarnya
telah diamalkan dalam kehidupan masyarakat Brunei sejak beberapa abad yang
lalu, cuma ia belum dinamakan Melayu Islam Beraja sehinggalah pada 1 Januari 1984. Sebelum itu hanya
dikenali sebagai Kesultanan Melayu Islam dan ini tidak semua masyarakat mengetahuinya.
Namun pada hakikatnya unsur-unsur Melayu Islam Beraja telah lama diamalkan,
dihayati dan dijadikan sandaran dalam kehidupan seharian orang Brunei sejak
beratus-ratus tahun yang lalu.
Negara Brunei Darussalam telah
melalui lima period(zaman) dalam menegakkan Melayu Islam Beraja ( Konsep
Negara), zaman yang pertama ialah :
1. Zaman
pengasasan Melayu Islam Beraja (1363 – 1485)
Awang
Alak Betatar menegaskan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah Negara Brunei
Darussalam sebaik sahaja baginda memeluk agama Islam dan menggunakan nama
sebagai Sultan Muhammad Shah. Pengislamannya secara mutlak telah menjadikan
baginda sebagai raja pertama yang memeluk agama Islam di Brunei yang mengetuai
rakyat melayu untuk beransur-ansur menerapkan cara lehidupan islam.
2. Zaman
keemasan Melayu Islam Beraja (1485 – 1578)
Zaman
ini merupakan zaman Sultan Bolkiah yang menaikkan status Brunei Darussalam dari
sebuah Negara mardeka yang kecil menjadi sebuah empayar yang disegani. Semasa
pemerintahan Baginda, wilayah-wilayah Brunei bertambah luas dalam tempoh 39
tahun.
3. Zaman
ujian dan ketahanan Melayu Islam Beraja (1578- 1957)
Zaman
ini dikenalpasti sebagai zaman yang paling bercelaru di dalam sejarah Brunei
dan dalam perkembangan Melayu Islam Beraja sebagai pegangan Negara. Ia
dibahagikan kepada 5 tahap yang mempunyai peristiwa-peristiwa yang berbentuk
perpecahan. Lima tahap tersebut ialah :
I.
Pendudukkan
Sepanyol semasa Perang Kastila (1578)
II.
Perebutan
kuasa semasa perang saudara 12 tahun (1661-19673)
III.
Penglibatan
langsung keluarga Brooke ( 1839-1888)
IV.
Perlaksanaan
perjanjian Naungan 1888 yang berat sebelah ( 1888-1905)
V.
Perlaksanaan
Perjanjian Tambahan 1906 ( 1906-1959)
4. Zaman pemulihan Melayu Islam Beraja ( 1959-
1983)
Penekanan
rasmi oleh Kerajaan British bahawa Brunei mesti mempertahankan Melayu Islam
Beraja sebagai falsafah rasmi Negara yang telah diusahakan oleh Sultan Omar Ali
Saifuddien III secara khususnya bersama rakyat yang taat. Sebelum tahun 1975,
satu siri perbincangan dan muzakarah telah dilaksanakan diantara delegasi
Brunei ( yang diketuai oleh Sultan) dengan kerajaan British mengenai masa depan
Brunei yang ditumpukan khusus bagi mengkaji perjanjian 1906. Secara praktisnya,
Brunei berkehendak sebuah kerajaan sendiri dalam negeri dan tidak memerlukan
lagi taraf negeri naungan.
5. Zaman
penegakkan Melayu Islam Beraja (bermula tahun 1984)
Empat tahun
setelah penandatangani perjanjian 1979 dan persediaan untuk menerima
tanggungjawab penuh sebagai sebuah Negara mardeka dilaksanakan, Negara Brunei
Darussalam kini melangkah ke arena antarabangsa pada 1 Januari 1984 dengan
membawa bersama satu indentiti dan calak keislaman melalui seruan suci “ Allahu
Akbar ( Allah Maha Besar). Sejurus selepas seruan tersebut, Sultan Haji
Hassanal Bolkiah mengisyhtiarkan bahawa Falsafah Melayu Islam Beraja menjadi
Falsafah Negara Brunei Darussalam dan dengan falsafah ini akan menjadi penentu
calak Brunei.
TITAH PERMASYHURAN HARI KEMERDEKAAN
Pemasyhuran Hari Kemerdekaan Negara
Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah yang menyatakan :
“ Negara Brunei Darussalam adalah dengan
izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala akan untuk selama-lamanya
kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang mardeka, berdaulat,
demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama islam menurut Ahlusunah wal’
jamaah …”
Kandungan titah
Baginda semasa hari Kemerdekaan 1 Januari 1984 ini jelas menyatakan bahawa
Negara Brunei Darussalam telah rasmi menjadi sebuah Negara yang Mardeka, bebas
dari penjajah, diperintah oleh Sultan yang berdaulat, mengamalkan sistem
demokratik yang bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam. Fahaman Melayu
Islam Beraja perlu diterapkan kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di
Negara ini, sekurang-kurangnya ia dapat memberikan suatu fahaman yang positif
demi mengelakkan fahaman atau pandangan yang negatif.
NEGARA MELAYU
Melayu merujuk kepada mereka yang
bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan
Melayu mungkin berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai
Melayu di hulu Sungai batang hari, Sumatera. Di sana letaknya "Kerajaan
Melayu" sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan
Srivijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu"
itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang
bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Ada juga sumber sejarah yang
mengatakan bahawa perkataan "Melayu" berasal dari "Sungai
Melayu" di Jambi. Asal usul bangsa Melayu merupakan sesuatu yang sukar
ditentukan. Walaupun terdapat beberapa kajian dilakukan untuk menjelaskan
perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Secara
amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu Bangsa Melayu
berasal dari Yunnan (Teori Yunnan) dan Bangsa Melayu berasal dari Nusantara
(Teori Nusantara)
Mengikut dari Lembaga perlambangan
Brunei hanya terdapat 7 puak brunei saja yang sah rasmi di bawah pendaftaran
kebangsaan Brunei di anggap puak jati Brunei yang asli iaitu Puak Melayu Brunei,
Puak Kedayan, Puak Tutong, Puak Dusun, Puak Belait, Puak Murut dan Puak Bisaya.
Bangsa Melayu itu bersikap lemah-lembut, suka tolong-menolong, bertolak ansur
serta mengamalkan sikap-sikap yang yang mulia di samping berhemah tinggi.
Dengan kata lain, Bangsa Melayu itu menyelesaikan masalah melalui perundingan
dan permuafakatan. Kita adalah bangsa yang masih kekal dengan sifat awar galat,
menghormati orang tua dan mengasihi kanak-kanak serta peka terhadap keadaan
sekeliling
NEGARA ISLAM
Wujudnya Melayu Islam Beraja bermula apabila
Islam telah dibawa melalui pendakwah-pendakwah dari Arab yang dijangkakan wujud
pada abad ke-10, perkembangan islam
terus berkembang apabila Raja Brunei, Awang Alak Betatar telah memeluk agama
Islam pada tahun 1360-an dengan menggunakan nama Sultan Mohammad Syah.
Kenyataan Sultan Brunei menggunakan nama Islam ini ada disebut dalam sumber
China yang mengatakan pada tahun 1370 kerajaan Poni (Brunei) ketika itu
diperintah oleh Sultan Mahamosa ( Sultan Mohammad Syah). Kemudian semasa pemerintahan
Sultan Bolkiah, Sultan Brunei yang ke-5, Brunei telah menjadi pusat penyebaran
agama Islam. Ini berlaku selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis.
Kemudian Perlembagaan Negeri Brunei
1959 telah dimeterai pada 29 September 1959 di antara Kerajaan Brunei dan pihak
Pemerintah British yang menaungi Negeri Brunei ketika itu. Perlembagaan Negeri
Brunei 1959 telah meletakkan Islam sebagai agama rasmi Brunei. Dalam
perlembagaan tersebut juga dicatatkan bahawa perlantikan terhadap jawatan Menteri
Besar, Timbalannya, Setiausaha Kerajaan mestilah terdiri daripada bangsa Melayu
yang beragama Islam mengikut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dengan bermazhabkan
Mazhab Shafii. Malah Majlis Ugama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Ugama telah
ditubuhkan bagi tujuan memantapkan lagi perjalanan dan pentadbiran Islam di
Brunei.Kemudian agama Islam berkembang dari generasi seterusnya sehingga
sekarang hampir keseluruhan rakyat Brunei Darussalam berugama Islam.
Fakta ini menjadi bukti yang cukup kuat
pada menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu yang
berlandaskan Islam dan Raja sebagai Ketua agama. Raja-Raja yang memerintah
dengan penuh kebijaksanaan menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi dengan
aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai landasan akidah, syariah dan akhlak. Kedudukan
agama Islam terus diperkukuhkan, dikembangluaskan dan dikemaskan melalui bidang
pentadbiran negara.
NEGARA BERAJA
Beraja melambangkan kedaulatan bagi sesebuah negara di bawah
pemerintahan seorang raja yang telah wujud sejak awal abad masihi. Sistem
beraja kita telah menjadi warisan dari sejak negara ini mula dibuka oleh Awang
Alak Betatar. Kesultanan
Brunei sesungguhnya sudah lama bertapak iaitu bermula dari Sultan Brunei yang
pertama yang bernama Sultan Muhammad ( Awang Alak Betatar). Kegemilangan
kesultanan Brunei meningkat apabila Sultan Brunei yang ke-5, Sultan Bolkiah
membawa bersama Baginda gendang kebesaran Diraja semasa Baginda berangkat
mengelilingi keseluruhan pulau Borneo.
Sistem beraja ini sangat jelas dan kukuh
kerana raja adalah sebagai ketua. Masyarakat purba menganggap raja adalah
sebagai inkarnasi dari Tuhan, oleh itu raja dikatakan sebagai seorang yang
mempunyai “super power”. Bagi rakyat yang derhaka kepada raja mereka
dipercayai akan mendapat kesukaran dalam hidupnya kerana raja mempunyai
kedaulatan yang sentiasa membawa rahmat kepada rakyat.
Kedudukan
raja melalui proses perlantikkannya dalam pemerintahan beraja yang sudah wujud
sejak Negara ini dibuka, terus diperkemaskinikan sebagaimana yang telah
termaktub dalam permasyhuran Mengangkat Raja dan melantik Pemangku Raja, 1959
dalam bab (4) ceraian (1) telah mensyaratkan bahawa :
“
seseorang itu tidak boleh disifatkan sebagai waris yang sah seperti yang
tersebut dalam bab (3) kalau dia bukan
laki-laki keturunan sah dari sebelah laki-laki dan kalau dia tidak memeluki
agama islam,”.
Jelas disini bahawa sistem beraja itu wujud
dari Sultan Brunei yang pertama lagi dan diteruskan sehingga sekarang. Hari ini
kita menikmati kesempurnaan kehidupan baik dari segi sosial, dari segi budaya,
dari segi pendapatan mahupun dar segi tingkat persefahaman yang bersepadu,
sistem beraja itu wajar dipertahankan dan diamalkan kerana sejarah telah
membuktikan sistem ini pernah menjadi sebuah empayar yang besar yang berwibawa
serta dihormati.
KESIMPULAN
Kewujudan
Melayu Islam Beraja itu memang wujud sekian lama dan akan terus bertahan dengan
kukuhnya sebagai wadah ketahanan nasional negara yang unik dan mempunyai
keistimewaan sejarahnya yang cemerlang. Setelah pengishtiharan kemerdekaan secara rasmi pada 1 Januari 1984 telah
menjadikan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah penduduk Negara Brunei
Darussalam secara tetap serta menjadi panduan .